Pada 13 Mei 2022 (Jumaat), SK (C) Anglo Chinese Kota Kinabalu berbesar hati menerima pelawat dari IPG Kent Tuaran, Sabah dalam satu Program Lawatan Perkongsian Pengalaman dan Kejayaan Dalam Bidang Robotik Oleh Guru dan Pelajar. Seramai 35 orang guru pelatih Kelab Robotik telah menyertai lawatan tersebut dengan diketuai oleh Puan Loh Kee Sun, Pensyarah Akademik dan Pensyarah Penasihat Kelab Robotik IPG Kent Tuaran dan Encik Benny Kong Tze Loong, Pensyarah Akademik IPG Kent, Tuaran. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Dr. Chiam Sun May, Ketua Unit Sains, Jabatan STEM IPG Kent Tuaran merangkap Pensyarah Cemerlang JUSA C bersama Tuan Jerry dan Puan Lily, Pegawai SISC+ TVET, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.
Antara aktiviti yang diadakan dalam lawatan tersebut ialah melawat ke MyDigital Maker Hub, SK (C) Anglo Chinese Kota Kinabalu dan melihat sendiri kejayaan enam orang pelajar sekolah ini yang telah berjaya mencipta kejayaan dalam Pertandingan MakeX Robotic Malaysia 2021. Dalam sesi ini, para guru pelatih berpeluang bertemu bual dengan enam orang pelajar melalui lawatan ke Booth Projek secara Gallery Walk. Sebagai usaha mempraktikkan amalan Pembelajaran Abad ke-21, para guru pelatih turut diminta memberikan komen dan ucapan membina kepada enam orang pelajar terbabit menggunakan Parking Lot. Langkah ini bertujuan untuk memberikan motivasi dan galakan kepada pelajar tersebut agar terus berinovasi dalam bidang robotik di samping melonjakkan lagi kemenjadian para pelajar.
Program lawatan ini diakhiri dengan ucapan dan rumusan daripada Dr. Chiam Sun May dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati daripada pihak IPG Kent Tuaran kepada pihak sekolah dan juga Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.
Secara keseluruhannya, program lawatan ini berjaya mencapai objektif dan matlamat yang ditetapkan. Diharapkan, program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk meningkatkan kecemerlangan semua pihak khususnya dalam bidang robotik.