![](https://www.skc-anglochinese.edu.my/v2/wp-content/uploads/2022/05/Program-Keterangkuman-Malaysia-Techlympics-2022-81-1024x683.jpg)
Pada 24 Mei 2022 (Selasa), SK (C) Anglo Chinese Kota Kinabalu sangat bertuah kerana dipilih menjadi pusat aktiviti bagi Program Keterangkuman Malaysia Techlympics 2022 anjuran bersama MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia) dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Program yang berlangsung selama 3 jam ini telah dihadiri oleh wakil daripada MOSTI, pensyarah dan guru pelatih Kelab Robotik, IPG Kent Tuaran, guru besar SJK (C) Chung Hwa Likas bersama rombongan guru dan murid, barisan guru penolong kanan, ketua-ketua panitia, para guru serta murid-murid SK (C) Anglo Chinese Kota Kinabalu.
Antara objektif program tersebut diadakan adalah untuk melahirkan generasi penyelesai masalah dan tekno-usahawan masa hadapan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan aksi mereka menghasilkan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Antaranya ialah beberapa aktiviti ‘hands on’ sains seperti mencipta kapal terbang, membuat slime dan sebagainya. Paling menarik perhatian hadirin ialah melihat persembahan drone dan pertunjukan ‘Robot Kancil’ yang dibawa khas untuk program ini. Selain itu, para murid juga berpeluang mencipta kereta STEM dengan menggunakan kit-kit yang disediakan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Para guru dan murid mendapat banyak pengetahuan, pengalaman teknologi dan inspirasi untuk berinovasi. Semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk melonjakkan lagi kemenjadian murid khususnya dalam bidang sains dan teknologi.